Anwar Ibrahim tiba di Magellan Sutera Harbour di Kota Kinabalu pada jam 10.10 malam selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. (Gambar Bernama) |
KOTA KINABALU: Pengerusi Pakatan Harapan yang juga Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba di Magellan Sutera Harbour, di sini, untuk bertemu dengan pemimpin Sabah bagi menyelesaikan kemelut politik yang berlaku di negeri ini.
Beliau tiba di resort berkenaan pada jam 10.10 malam tadi selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) kira-kira jam 9.57 malam.
Ketua Menteri Hajiji Noor menyambut kedatangan Anwar di KKIA namun Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu tidak dilihat bersama Anwar ketika tiba di resort berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi terlebih dahulu tiba di Sabah.
Difahamkan, Anwar akan bertemu dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) serta Warisan manakala Zahid yang juga presiden Umno mengadakan pertemuan dengan Hajiji.
Pada Jumaat lalu, BN Sabah dan Umno menarik sokongan kepada Hajiji ketika timbul spekulasi Umno Sabah dan Warisan bekerjasama untuk membentuk kerajaan negeri.